Menghadapi Cabaran: Melatih Kesabaran

(Dipetik daripada buku Manual Kerja Super Isteri)

Oleh: Siti Sifir                    


Sekali kita masuk ke alam perkahwinan, lebih-lebih lagi dengan orang yang kita cintai, maka terbayanglah di hadapan mata kita semuanya yang indah. Tanpa kita duga, mehnah dan tribulasi sedang menunggu kita tambahan pula memang sudah tugasan syaitan untuk

mengganggu gugat kebahagiaan kita.



Antara cabaran yang perlu kita hadapi adalah seperti:

 Kerenah pasangan
 Anak-anak
 Mentua
 Orang ketiga
 Jadual kerja yang tidak sesuai
 Umpatan orang sekeliling

Jika disenaraikan memanglah tidak cukup sehelai muka surat. Cuma yang perlu kita fahami adalah hanya pasangan yang benar-benar tabah, sabar, yakin dan optimis yang sanggup mengharungi semua badai masalah dan melayari bahtera mereka hingga akhirnya.

Lagipun dalam hal ini, Islam menegaskan umatnya agar berusaha untuk menahan marah. Jika difikirkan kisah perjuangan baginda Rasulullah s.a.w, pastilah tidak tertanding dengan apa-apa yang kita tanggung pada masa ini, namun Baginda dapat melaluinya tanpa menunjukkan rasa

marah Baginda.

 

 

Sabda Rasulullah s.a.w:
Awaslah kamu daripada marah-marah, kerana marah itu bererti menyalakan api dalam kalbu anak Adam. Tidakkah kamu melihat seseorang yang marah itu merah matanya dan tegang urat-urat lehernya? Kerana itu apabila seseorang itu merasakan yang demikian, maka hendaklah ia berbaring.
 

(Riwayat Abu Said Alkhudri r.a)

 


Kaedah menangani rasa marah

 Memberikan nasihat

Sekiranya dia menyinggung perasaan, nyatakan semula dengan cara halus dan tidak marah-marah. Jika kaedah kelembutan digunakan, insya-Allah suami atau anak-anak akan segera sedar.

 

 

Seperti firman Allah s.w.t:
Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengejarkan amal soleh, dan nasihat-menasihati akan kebenaran serta nasihat-menasihati akan kesabaran.


(Surah Al-Asr
)

 

 

 Berbincang untuk kedamaian

Sekiranya kita bertemu dengan perselisihan faham yang agak serius, maka jalan yang terbaik adalah dengan berbincang secara mendalam. Kaedah berbincang adalah seperti menghantar SMS, menulis surat atau e-mel dan jika anda lebih berani, bercakaplah dari hati ke hati.


Sekiranya perbincangan sesama kita dengan suami atau dengan anak-anak tidak mencapai kata sepakat, mungkin boleh dipanggil mereka daripada pihak ketiga yang adil dan dipercayai.


 Menghindari penceraian

Jangan bertindak terburu-buru meminta cerai daripada suami atau menghalau anak-anak keluar dari rumah.


Renung semula saat keindahan kita bersama-sama dan juga risiko yang bakal berlaku jika keadaan ini berlaku.


 Hindari buruk sangka

Elakkan daripada buruk sangka terhadap pasangan. Hal ini akan menimbulkan tekanan kepada diri kita sendiri. Sifat diri kita yang cemburu dan suka mencari-cari kesalahan suami dan anak-anak akan merosakkan rumah tangga.


Adakala, perasaan ini diciptakan oleh Allah untuk menguji setakat mana iman kita. Seboleh daya, percayalah kepada ahli keluarga kita tetapi perlulah diingatkan
jangan membuta tuli.
 

 

Firman Allah s.w.t:
Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.

 


 Berhenti mempertikaikan

Sekiranya kita sering bergaduh, mulai hari ini, mengalahlah sedikit. Hal ini kerana mengalah itu tidak bererti kalah. Adakala, mengalah yang sedikit pada hari ini akan menyebabkan kita mendapat kemenangan besar kemudiannya.


Jika ada dua keputusan, maka biasakanlah untuk bermesyuarat bersama dengan ahli keluarga supaya keputusan terbaik akan dipilih.


 Sesuaikan diri dengan pasangan

Cubalah untuk memahami keperibadian suami dan anak-anak. Kita tidak akan rugi kerana pada akhirnya, mereka akan memahami diri kita dengan sendirinya.
 

 Menukar aktiviti

Bagi mengelakkan lebih banyak perkara yang dipertikaikan, tukarlah aktiviti harian supaya kita tidak berasa jemu dan menyebabkan diri kita tidak dapat membendung kesabaran.
 

 Meminta nasihat orang lain

Sekiranya kita benar-benar buntu, berjumpalah dengan mereka yang dipercayai atau sebaiknya mereka yang profesional seperti kaunselor, pegawai agama dan lain-lain.
 

 

Firman Allah s.w.t:
Bertanyalah kepada orang yang pakar sekira-nya kamu tidak mengetahui.
 

(Surah An-Nahl: 43)

 

 

  Ke atas