Fungsi Pantun Dalam Teks Pengacara Majlis

Oleh: N.A. Salleh                     

                     

Pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam apa-apa jua majlis. Pada zaman dahulu, pantun dituturkan oleh masyarakat Melayu pada setiap masa tidak kira di mana-mana sahaja. Bahasanya yang indah, lembut dan tersusun menyebabkan masyarakat meng-gemarinya. Begitu juga jika pantun dimasukkan dalam apa-apa jua jenis teks. Hal ini kerana pantun merupakan puisi yang mempunyai unsur keindahan bahasa yang mampu memainkan pelbagai peranan. Jadi, amat tepat dan sesuai pantun dimasukkan dalam teks pengacara majlis agar majlis yang dikendalikan tidak seperti majlis pengumuman. Yang berikut merupakan fungsi pantun dalam teks pengacara majlis.

1.   Penyeri majlis

Keindahan kata-kata dalam pantun pastinya akan menyerikan majlis yang berlangsung. Hal ini kerana pantun seumpama pemanis kata dalam sesuatu majlis sama ada majlis rasmi atau majlis perkahwinan. Dengan pantun, suasana majlis akan berlangsung dengan penuh mesra, indah dan menarik. Keadaan ini pastinya meninggalkan kesan di hati para tamu yang berada dalam majlis tersebut. Bersesuaian dengan adat Melayu, pantun sememangnya menjadi kata pembuka dan penutup bagi sesuatu majlis. Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan di sini bahawa majlis yang dikendalikan tanpa pantun dituturkan pastinya tawar dan hambar, dan pengacara majlis pastinya dilihat sebagai pembaca pengumuman semata-mata.

 

2.   Penyampai maksud dan perasaan

Pantun juga berfungsi sebagai penyampai maksud di hati sama ada hasrat, niat, pujian dan se-bagainya. Hal ini kerana dengan penggunaan pantun segala maksud di hati dapat dipertajam dan hal ini membolehkan hadirin merasai dan memahami dengan lebih jelas dan dekat maksud yang ingin disampaikan oleh seseorang pengacara majlis. Selain itu, melalui pantun juga pengacara majlis dapat menyalurkan perasaan sama ada suka, duka, penuh dengan debaran dan sebagainya bersesuaian dengan atur cara yang bakal berlangsung. Hal ini secara tidak langsung akan membentuk mood majlis.

 

3.   Hiburan dan menghilangkan debaran

Pantun juga dapat berfungsi untuk mengisi masa senggang dalam sesuatu majlis agar hadirin tidak berasa bosan menunggu atur cara seterusnya terutama apabila berlaku kelewatan dan menunggu keputusan hakim. Bayangkan jika hadirin berasa bosan menanti, tidakkah majlis akan menjadi riuh rendah? Oleh itu, pantun boleh digunakan oleh pengacara majlis untuk menghilangkan keresahan, kebosanan dan debaran hati hadirin. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan para hadirin bersembang sesama mereka. Pantun-pantun berbentuk usikan amat sesuai dilafazkan jika perkara seperti itu berlaku agar hadirin ketawa dan perhatian mereka dapat dialihkan sebentar.

 

4.   Menarik perhatian

Sememangnya pantun mampu menarik perhatian hadirin. Apabila seseorang pengacara majlis me-lafazkan pantun sebagai tanda meminta perhatian, para hadirin yang hadir dalam sesuatu majlis pastinya akan terus memberikan perhatian. Namun, sebagai peng-acara majlis harus anda sedari bahawa tumpuan hadirin boleh berubah mengikut perjalanan atur cara. Jadi, sebagai pengacara majlis, anda harus pandai menarik tumpuan mereka sepanjang majlis berlangsung. Oleh itu penggunaan pelbagai pantun dapat menarik tumpuan hadirin untuk terus bersama dengan anda.

 

  Ke atas