Contoh Aktiviti Menggunakan Kad Imbasan

(Dipetik daripada buku Cara Mudah Mengajar Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris Untuk Sekolah Rendah)

Oleh: Mohd Yusoff Noordin                     


Ada pelbagai aktiviti yang boleh anda lakukan dengan menggunakan kad imbasan. Anda boleh membahagikan aktiviti yang ingin dijalankan mengikut fungsi aktiviti itu sama ada untuk melatih memori, latih tubi atau mengenal pasti objek. Anda boleh menjadikan aktiviti-aktiviti yang diterangkan selepas ini sebagai satu permainan. Dengan membuatnya sebagai satu permainan, mata pelajaran ini akan menjadi lebih menarik untuk dipelajari. Walaupun kebanyakan kad imbasan yang terdapat di pasaran adalah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, anda juga boleh menggunakan kad imbasan itu untuk mengaitkannya dengan topik-topik Sains dan Matematik yang berkaitan.

(a) Ujian Memori
 

Aktiviti ujian memori ini direka untuk menguji memori murid-murid. Anda perlu meletakkan beberapa kad imbasan di atas lantai dalam bentuk bulatan. Biarkan bahagian kad imbasan yang bergambar di atas. Jika aktiviti ini melibatkan seorang murid sahaja, berikan masa seminit untuk dia mengingati kesemua objek yang ada pada kad imbasan itu. Jika aktiviti yang anda lakukan melibatkan kumpulan murid, anda boleh membahagikan mereka dalam dua atau lebih kumpulan dan berikan masa dua minit untuk mereka menyenaraikan kesemua objek yang boleh diingat. Latihan ini amat sesuai untuk menguji memori murid di samping memberi mereka satu jenis senaman minda. Yang penting ialah anda perlu mereka aktiviti sebegini sebagai satu permainan dan bukannya sebagai satu latihan. Hal ini untuk memastikan mereka seronok dengan aktiviti yang dijalankan dan tidak berasa tertekan untuk menghafal kad-kad imbasan itu.


Sebagai contoh, anda boleh meletakkan kad-kad imbasan yang mempunyai gambar atau imej haiwan yang telah pupus di atas lantai dan memberitahu kepada murid-murid anda, “These are some animals that are already extinct” dan beri mereka masa untuk melihat kad-kad tersebut. Apabila masa yang diberikan telah tamat, suruh setiap wakil kumpulan (jika dibuat berkumpulan) menulis nama haiwan-haiwan yang terdapat pada kad-kad imbasan itu tadi. Bila sudah selesai dengan kad-kad imbasan Extinct Animals, anda mungkin boleh meneruskannya dengan kad-kad imbasan Endangered Species pula.
 

(b) Aktiviti Latih Tubi – Kad Ghaib


Dalam aktiviti ini, anda boleh meletakkan sembilan kad imbasan untuk sesuatu topik di atas papan tulis. Pastikan bahagian gambar kad imbasan menjadi bahagian yang kelihatan. Lukiskan bulatan di sekeliling kad imbasan. Kemudian, gunakan pen dan tunjukkan kesembilan kad imbas berulang kali dan sebutkan setiap perkataan pada kad imbasan itu. Tanggalkan kad imbasan itu satu persatu tetapi teruskan menunjuk tempat kad imbasan itu berada. Apabila anda telah menanggalkan kad imbasan yang pertama, anda perlu menunjuk pada tempat kosong itu dan menganggukkan kepala anda bagi menggalakkan murid-murid menyebut perkataan kad imbasan yang telah anda tanggalkan tadi. Murid-murid anda akan berasa terkejut kerana mereka boleh mengingati gambar-gambar kad imbasan itu. Jika anda mengajar murid Tahun 1, anda boleh meletakkan semula kad imbasan itu di tempatnya yang betul. Manakala untuk murid tahap lain pula anda boleh menyuruh mereka menulis perkataan yang betul untuk kad imbasan yang telah ditanggalkan itu di papan tulis. Aktiviti ini akan menonjolkan kesan peralatan visual dan akan membuktikan bahawa imej yang dilihat pada kad imbasan itu akan ‘melekat’ dalam minda murid.
 

(c) Aktiviti Pengenalan – Dedahkan Perkataan Itu
 

Tutupkan kad imbasan dengan sekeping kad dan kemudian dedahkan kad imbasan itu perlahan-lahan dan minta murid-murid mengagak kad yang anda sedang dedahkan itu. Apabila kad itu telah didedahkan, anda boleh menyebut perkataan pada kad imbasan itu. Bezakan nada suara anda, berbisik dan jeritkan perkataan-perkataan itu. Murid-murid secara automatik akan meniru anda. Selain itu, anda boleh membalikkan kad-kad itu dengan cepat agar mereka dapat melihat kad itu sepintas lalu dan ulang semula perbuatan anda hinggalah mereka dapat mengagak dengan tepat perkataan pada kad imbasan yang dibalikkan.
 

(d) Aktiviti Mengejar Kad Imbasan
 

Aktiviti ini ialah satu lagi aktiviti yang membolehkan anda menggunakan kad imbasan bersama dengan murid-murid. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan kad-kad imbasan untuk topik Interaction Among Living Things.

Sebelum memulakan aktiviti, anda perlu menampalkan pelbagai kad imbasan di dalam bilik atau di dalam kelas. Kemudian, anda boleh menyebut  salah  satu  kad  imbasan yang telah ditampal dan murid-murid perlu berlari ke arah kad imbasan itu

dan menunjukkan kad imbasan yang disebut. Jika ada lebih daripada seorang murid, anda boleh menyuruh salah seorang daripada mereka menyebut mana-mana kad imbasan yang telah ditampal dan yang seorang lagi pula akan berlari ke arah kad imbasan itu.

 

Pastikan keadaan kelas adalah selamat sebelum anda menjalankan aktiviti ini.
Anda juga boleh mempelbagaikan aktiviti ini dengan menyebut “Walk slowly to a solitary animal”, “Hop to an animal that lives in a group” dan sebagainya untuk membuatkan aktiviti ini lebih menarik. Anda juga boleh menggabungkan aktiviti ini dengan permainan lain seperti permainan ‘Simon Says’ dengan berkata, “Simon says, swim to the fish” dan sebagainya.

 

  Ke atas