Buku pedoman komprehensif untuk ibu bapa dan pendidik

 

Pengenalan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik pada peringkat rendah dan menengah membuatkan ibu bapa semakin risau akan kesannya kepada anak-anak mereka. Tambahan pula, jika mereka sendiri tidak fasih berbahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan ada ibu bapa yang berasa tidak mampu berbuat apa-apa kecuali mengharapkan bantuan guru-guru di sekolah. Bagi ibu bapa yang berkemampuan pula, mereka cuba membantu anak-anak mereka dengan menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen. Ibu bapa sekarang telah mengubah pandangan mereka terhadap bahasa Inggeris sebagai hanya satu mata pelajaran bahasa kepada bahasa untuk semua jenis ilmu. Hal ini kerana selain penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah, bahasa Inggeris juga banyak digunakan pada peringkat lanjutan seperti diploma dan ijazah.

 

Adalah diharapkan agar anda semua mendapat manfaat daripada segala petua dan pengetahuan yang terdapat dalam buku ini dalam membimbing anak-anak dan pelajar-pelajar anda untuk menjadi mahir dalam bahasa Inggeris dan seterusnya membantu mereka berjaya dalam pelajaran dan kerjaya mereka pada masa hadapan.