Mengendalikan sesuatu majlis merupakan satu tugasan yang agak sukar bagi sesetengah orang, tetapi nampak mudah apabila dilakukan oleh orang lain. Mengapa begitu?

Adakah mengendalikan majlis memerlukan kemahiran yang tinggi? Adakah perlu menghadiri kursus untuk mengendalikan majlis?

Sebenarnya, mengendalikan sesuatu majlis bukanlah satu tugasan yang sangat sukar. Namun, tugas ini memerlukan perancangan awal yang teliti. Setiap majlis yang sempurna dan berjalan dengan baik memerlukan perancangan pada tahap awal, pada tahap pertengahan dan pada tahap akhir. Perancangan yang sebegini memberi peluang kepada anda untuk mengenal pasti semua kelemahan yang ada dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Yang penting, anda harus tahu matlamat majlis dan cara untuk anda mengendalikannya. Tentukan tema majlis dan yang paling penting, bajet bagi sesuatu majlis itu.

Mengendalikan sesuatu majlis atau acara tidak hanya tertumpu kepada majlis makan malam, majlis perkahwinan dan sebagainya tetapi merangkumi pelbagai acara lain yang berkaitan.

Buku ini akan membincangkan cara-cara mudah untuk mengendalikan majlis rasmi, majlis tidak rasmi, majlis anjuran syarikat seperti majlis makan malam dan juga team building, hari keluarga dan acara yang paling digemari, iaitu mencari harta karun atau lebih senang dikenali sebagai treasure hunt.

Lazimnya, acara-acara ini dianjurkan oleh syarikat-syarikat dengan tujuan untuk meraikan kakitangan, menyambut ulang tahun syarikat atau mengumpul dana. Cara itu juga boleh dianjurkan sebagai satu kolaborasi antara dua atau lebih syarikat yang ingin bekerjasama atau meraikan sesuatu kejayaan.

Walau apa jua majlis yang ingin dianjurkan, perancangan awal adalah sangat perlu. Penulis berharap agar panduan dan cadangan yang disajikan dalam buku ini dapat membantu pengendali majlis atau aktiviti dalam melaksanakan majlis atau aktiviti yang dirancang berjalan dengan baik dan berkesan.