Pantun merupakan puisi berangkap tradisional yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam apa-apa jua majlis. Penggunaan pantun dalam sesuatu majlis dapat mengukuhkan penyampaian hasrat dan buah fikiran seseorang pengacara. Bahasanya yang indah, lembut dan tersusun mampu menyentuh dan mencuit perasaan hadirin. Penggunaan pantun dalam teks pengacara pastinya menimbulkan pelbagai perasaan dalam kalangan hadirin mengikut atur cara sesuatu majlis. Jadi, sememangnya penggunaan pantun dalam teks pengacara majlis sudah tentu dapat menarik perhatian dan tumpuan hadirin agar terus bersama-sama menjayakan majlis tersebut dengan jayanya.

 

Oleh sebab pantun begitu berkuasa dalam mengindah dan membangkitkan perasaan hadirin, maka dalam pasaran sekarang terdapat banyak buku pantun. Namun buku pantun yang diterbitkan acapkali menjurus kepada jenis majlis. Hal ini banyak menyebabkan orang bertanya kepada saya tentang pantun yang sesuai untuk apa-apa jua jenis majlis dan tidak terhad kepada majlis-majlis tertentu. Persoalan yang dilontarkan kepada saya ini menerbitkan idea kepada saya untuk menulis buku aneka contoh pantun pilihan mengikut atur cara.

 

Konsep buku ini sebenarnya bukan sahaja memudahkan pengacara tetapi juga memudahkan sesiapa sahaja yang berminat dalam penulisan teks pengacara majlis atau baru berjinak-jinak untuk menjadi pengacara memasukkan contoh pantun pilihan sedia ada atau mengolah pantun yang diberikan mengikut kesesuaian majlis dan acara yang dikendalikan. Justeru, dalam buku ini terdapat 11 jenis pantun, iaitu:

 

1.   Pantun Untuk Memulakan Majlis

2.   Pantun Untuk Acara Bacaan Doa

3.   Pantun Untuk Mempersilakan Tamu Memberikan Ucapan

4.   Pantun Untuk Ucapan Terima Kasih

5.   Pantun Untuk Acara Persembahan/Selingan

6.   Pantun Untuk Mempersilakan Tetamu Menjamu Selera

7.   Pantun Untuk Menyampaikan Hadiah/Cenderamata

8.   Pantun Untuk Meredakan Debaran

9.   Pantun Untuk Acara Sebelum dan Selepas Gimik

10. Pantun Untuk Memohon Maaf

11. Pantun Untuk Acara Penutup Majlis

 

Diharapkan buku ini dapat mencetuskan idea dan membantu para pengacara atau bakal pengacara untuk mengindahkan teks pengacaraan agar majlis yang dikendalikan tidak terlalu dilihat seperti majlis pengumuman semata-mata.