Penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menjadi satu cabaran besar kepada guru-guru mata pelajaran Sains dan Matematik kerana pengajaran mata pelajaran ini bukan lagi sekadar melibatkan pemahaman Sains dan Matematik tetapi turut melibatkan pemahaman murid-murid dalam bahasa Inggeris. Guru-guru bukan sahaja setakat perlu mengajar konsep-konsep dalam Sains dan Matematik tetapi juga perlu menyelitkan unsur-unsur pemelajaran Bahasa Inggeris agar murid-murid mereka tidak ketinggalan dalam mata pelajaran ini akibat kelemahan dalam penguasaan bahasa.

Diharapkan buku ini dapat mencetuskan idea-idea kepada guru-guru tentang teknik-teknik untuk menyerapkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Teknik-teknik yang disarankan dalam buku ini memang telah terbukti keberkesanannya untuk mempermudah proses pemelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Teknik-teknik yang digunakan dalam buku ini amat sesuai untuk murid-murid yang bahasa Inggeris merupakan bahasa asing kepada mereka.