Buku ini ditulis bagi memudahkan anda membuat pilihan dalam menentukan kerjaya yang menjadi pilihan anda.

 

Sebelum sebarang keputusan diambil untuk memilih bidang kerjaya, anda harus membuat penyelidikan tentang karier dan bidang yang anda minati. Hal ini termasuk mengenal pasti kemahiran, minat, kesesuaian personaliti dan bakat anda.

 

Untuk mendapat maklumat yang diperlukan, rujukan boleh dibuat melalui banyak sumber seperti Internet, risalah, buku, surat khabar dan kaunselor kerjaya.

 

Tidak terlalu awal sekiranya anda mengambil inisiatif untuk menentukan hala tuju hidup anda sebelum anda memilih subjek-subjek penting yang akan diambil dalam peperiksaan STPM, SPM mahupun PMR. Dengan mengetahui apa-apa yang anda inginkan dalam hidup dan hala tuju anda, anda akan menjadi lebih fokus dalam pemelajaran.

 

Bagi graduan pula, buku ini dapat menjadi panduan untuk mengetahui peluang pekerjaan yang ada dan bersesuaian dengan kursus yang diambil. Buku ini juga memberikan maklumat tentang setiap pekerjaan tersebut dan terpulang kepada anda untuk menentukan sama ada pekerjaan tersebut sesuai atau tidak. Jika tidak sesuai, belum terlambat bagi anda untuk menukar kursus atau menambah subjek-subjek yang berkaitan supaya anda mempunyai pilihan pekerjaan yang lebih luas kelak.