Dalam urusan sehari-hari, kita tidak dapat lari daripada keperluan untuk membuat kertas kerja untuk pengurusan seperti menulis surat, tidak kira sama ada surat rasmi ataupun tidak rasmi. Sekiranya kita bekerja, kemahiran menulis surat dan membuat kertas kerja pengurusan yang meyakinkan menjadi satu keperluan yang sangat penting.

Adakalanya kita dikehendaki menulis surat rasmi dan kita cuma diberikan masa yang singkat untuk mengarang. Walaupun kita mengetahui perkara yang hendak dikatakan, kadang-kadang kita buntu dan tidak tahu cara untuk memulakan surat rasmi tersebut.

Hal ini boleh menyebabkan kerja kita tergendala dan kredibiliti kita sebagai seorang pekerja yang baik tergugat. Berapa lamakah yang anda perlukan untuk menulis sepucuk surat rasmi yang ringkas? 10 minit? 20 minit? 1 jam? Atau seharian? Semua itu bergantung kepada kebolehan individu dan kemahiran ini boleh dipelajari dan diperbaik dengan latihan, pembacaan dan pengalaman.

Berapa lamakah pula yang anda perlukan untuk membuat satu kertas kerja pengurusan? Misalannya, anda hendak memohon kelulusan pihak pengurusan untuk memulakan sesuatu projek atau memohon peruntukan kewangan. Buntu bukan, jika anda tidak tahu cara untuk memulakannya?

Buku ini bertujuan untuk memberi anda sedikit panduan dan idea tentang cara untuk menulis surat rasmi yang baik dengan susunan bahasa yang sesuai.